TINDAKAN seorang suami yang nekad menggadai nyawa dengan meredah api marak untuk menyelamatkan isterinya yang terperangkap dalam kebakaran di kediaman mereka di Kampung Gerowot di Kuala Penyu, Sabah, pada Ahad tidak kesampaian apabila wanita itu maut.
Lebih memilukan, dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Ninik Yanuwati, 48, ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan.
Manakala suaminya yang dikenali sebagai Jumin Ansiu, 52, pula dilaporkan melecur lengan kiri dan kanan serta bahu dan belakang badannya.
Dua lagi anak perempuan dan lelaki pasangan itu yang berusia 13 tahun dan sembilan tahun serta ibu Jumin, Sinap Suram, 78, dilaporkan terselamat.
Kesemua mangsa yang selamat dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.57 pagi.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 80 peratus.
“Sebaik api dipadamkan, terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua dan seorang lagi mangsa lelaki, iaitu suami mangsa melecur.
"Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram