Polis cekup warga emas dalang kes samun bersenjata pistol mainan di Ipoh


  • 112
  • Ahad, 23 Apr 2023

Warga emas berkenaan diberkas ketika merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Onn Jaafar, Ipoh pada Sabtu.

TAKTIK seorang warga emas bersenjatakan pistol mainan untuk menyamun akhirnya gagal apabila lelaki berusia 66 tahun itu diberkas ketika melakukan perbuatan itu di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Onn Jaafar, Ipoh, Perak pada Sabtu

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira pukul 4 petang Sabtu.

"Sepasukan anggota dari balai polis Pekan Baru bergegas ke tempat kejadian dan menangkap lelaki warga tempatan itu dan antara barang kes dirampas ialah sebuah beg galas, sepucuk pistol mainan dan dua bilah pisau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, tangkapan itu juga menyelesaikan dua lagi kes menggunakan modus operandi sama iaitu samun dengan bersenjata menyerupai pistol di sebuah kedai emas pada 25 Mac lalu dan kedai serbaneka di Ipoh pada 5 April lalu.

Katanya, suspek memiliki beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik manakala ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah jenis morfin.

Yahaya berkata, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan bersenjata dan suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram