Gempa bumi Beluran: Rumah kayu tak selamat, penduduk diminta ke tempat lapang jika berlaku gegaran ulangan


  • Massa
  • Khamis, 20 Apr 2023

Gegaran pada bacaan 3.5 skala Ritcher dikesan di Beluran, Sabah pada pukul 9.07 pagi Khamis. — Facebook/Malaysian Meteorological Department

MALAYSIA pada Khamis dikejutkan dengan kejadian gempa bumi lemah di Beluran, Sabah berukuran 3.5 skala Ritcher.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal bagaimanapun memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan di kawasan berkenaan berhubung kejadian tersebut.

"Hasil rondaan di kawasan tersebut mendapati keadaan masih terkawal dan tiada kerosakan pada bangunan kerajaan serta premis-premis di lokasi," katanya kepada Majoriti pada Khamis.

Melihat kepada peristiwa tersebut, Edoen menyarankan penduduk kawasan berkenaan untuk terus keluar dari rumah dan lari ke tempat yang lapang sekiranya kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Katanya, kebanyakan rumah penduduk di Beluran, Sabah diperbuat daripada kayu dan ia tidak selamat untuk diduduki ketika gempa bumi berlaku.

Dalam perkembangan lain, beliau sempat berpesan kepada mereka yang pulang meraikan Hari Raya Aidilfitri untuk sentiasa berhati-hati memandu di jalan raya.

"Sekiranya meninggalkan rumah, sila pastikann suis peralatan elektrik dimatikan," katanya.

Terdahulu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan kejadian gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah pada pukul 9.07 pagi Khamis.

MetMalaysia menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan kejadian tersebut berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) di koordinat 6.6 darjah utara dan 117.4 darjah timur.

"Gempa tersebut berjarak 37 km tenggara dari Pitas, Sabah dan 365 km utara dari Tarakan, Indonesia.

"Tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gempa bumi, Beluran, Sabah, bomba, MetMalaysia