JABATAN Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri sehingga pukul 1 petang pada Khamis.
Situasi ini berlaku pada hari umat Islam akan mengetahui tarikh 1 Syawal yang bakal diumumkan malam nanti. Sesuai dengan tempoh akhir Ramadan, sudah pastinya ramai yang merancang untuk pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
MetMalaysia menerusi satu laporan yang dikeluarkan setakat pukul 9.50 pagi pada Khamis memaklumkan, kejadian terbabit dijangka berlaku di Perak iaitu di Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Raub dan Jerantut); dan Hulu Selangor, Selangor.
Menurut laporan berkenaan, amaran berkenaan turut dikeluarkan bagi negeri Johor iaitu di Batu Pahat dan Pontian, manakala Sarawak pula di Serian, Samarahan (Simunjan) serta Sri Aman.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram