Tanggal baju, tudung di pentas komedi: Nuramira didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah


Siti Nuramira pada mulanya menghadapi hukuman yang lebih tinggi dengan pertuduhan asal mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Siti Nuramira Abdullah, iaitu wanita yang menjadi tumpuan ekoran persembahannya di sebuah kelab komedi pada tahun lalu.

Keputusan itu turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Siti Nuramira, 27, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) pada Isnin.

Mengikut pertuduhan , Siti Nuramira didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menanggalkan baju kurung dan tudung dipakai ketika membuat persembahan komedi.

Kesalahan itu dilakukan di Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang pada 4 Jun 2022.

Siti Nuramira pada mulanya menghadapi hukuman yang lebih tinggi dengan pertuduhan asal mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana didakwa menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama, di mana dia berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun.

Dia mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa pada 13 Julai 2022. — The Star

MENYUSUL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram