Sekolah agama, SBP antara penyumbang peningkatan kes Covid-19


  • Primer
  • Selasa, 04 Apr 2023

Dr Noor Hisham berkata, sektor pendidikan disaran menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyarankan sektor pendidikan untuk melakukan saringan kepada pelajar, guru dan kakitangan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April, adalah kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Selasa berkata, daripada jumlah itu enam kluster melibatkan institusi pendidikan Kementerian pendidikan Malaysia (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu di sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

Beliau berkata, lima kluster lagi adalah kluster pendidikan lain iaitu empat di maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

"Peningkatan kes dan kluster Covid-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023. Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah lepas,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Untuk itu, sektor pendidikan disaran menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi serta menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian Covid-19.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya bergejala serta menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa agar tindakan pencegahan segera diambil.

Dr Noor Hisham dalam pada itu turut mengingatkan pegawai kesihatan daerah agar kes positif dilaporkan pihak sekolah atau institusi pendidikan perlu disiasat dan dijalankan penilaian risiko.

Ia bagi menilai status penularan jangkitan selain pelaksanaan tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak yang perlu dijalankan.

Selain itu, orang ramai juga disaran untuk terus mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan Covid-19.

Mengenai perkembangan kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337 kes manakala 5,004,546 bagi kes sembuh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram