Dua remaja lemas ketika mandi sungai di Segamat


  • 112
  • Ahad, 16 Apr 2023

Kedua-dua remaja itu lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat pada Jumaat. — Facebook

DUA remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi di Sungai Pulau Jering di Kampung Bukit Tunggal di Segamat, Johor pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12, dan Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, yang tinggal berjiran itu masing-masing merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jementah.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa pada pukul 5.10 petang.

"Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati, kedua-dua mangsa disedari lemas oleh seorang daripada bapa remaja tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.

"Menerusi bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan daripada sungai, namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta berdekatan.

Ahmad Muhammad dan Muhammad Khalifi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Bukit Tunggal, pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram