Tiga rumah hangus terbakar waktu sahur di Pasir Gudang, 2 beradik kini separa sedar


  • 112
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Kebakaran tiga buah rumah di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor pada awal pagi Sabtu. — media sosial

DUA beradik berjaya diselamatkan bomba dalam keadaan separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran melibatkan tiga unit rumah di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor pada awal pagi Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 21 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal. Dalam kejadian tersebut, dua mangsa telah dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.

"Kedua-dua mangsa, Azian Zainalabidin, 20, dan Murni Atikah Zainalabin, 25, didapati separa sedar sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, selain itu, tiga buah kereta jenis Toyota Yaris, Toyota Avanza dan Proton Saga terbakar 80 peratus serta tiga buah motosikal terbakar 95 peratus.

Menurutnya, kebakaran tersebut mengakibatkan kemusnahan rumah pertama sebanyak 20 peratus, rumah kedua 90 peratus dan rumah ketiga, 40 peratus.

Katanya, operasi berkenaan tamat pada pukul 6.22 pagi, sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram