[VIDEO] Api marak terlalu cepat punca kanak-kanak perempuan terperangkap hingga rentung


  • 112
  • Isnin, 10 Apr 2023

Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran tersebut yang membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong George Town, Pulau Pinang pada malam Ahad. — Bomba

SEORANG kanak-kanak perempuan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong George Town, Pulau Pinang pada malam Ahad.

Mangsa, G Sri Laavanya, berusia 7 tahun meninggal dunia dalam kebakaran itu manakalanya neneknya melecur di tangan namun dilaporkan stabil.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.19 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

"Sebaik tiba kami mendapati dua buah rumah yang terletak bersebelahan dengan setiap rumah berkeluasan 464 meter persegi sedang terbakar dan api marak, pihak bomba menjalankan operasi pemadaman.

bomba

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan dalam bilik tidur di rumah pertama yang terbakar lebih 80 peratus pada 12.33 tengah malam tadi manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus. — Bomba

"Kami turut menerima maklumat awal memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah dan selepas kerja pemadaman selesai, pihak bomba menjalankan pemeriksaan dan menemukan mayat mangsa dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Shakir berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan dalam bilik tidur di rumah pertama yang terbakar lebih 80 peratus pada 12.33 tengah malam tadi manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus.

Katanya kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran pada 12.45 tengah malam dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, faktor api yang marak terlalu pantas dalam insiden itu dipercayai menjadi punca menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

Katanya, mayat Laavanya ditemukan terbaring di bahagian belakang katil di dalam bilik bapanya dalam keadaan rentung dipercayai cuba bersembunyi untuk menyelamatkan diri di situ.

"Kanak-kanak tersebut tinggal bersama bapa dan datuk serta neneknya manakala ibunya telah lama meninggal dunia.

"Semasa kejadian bapanya tiada di rumah dan hanya terdapat datuk serta neneknya. Ketika kebakaran itu, mereka berdua (nenek dan datuk) telah lari keluar untuk menyelamatkan diri dan tidak sempat mencarinya kerana api sedang marak.

"Menurut mereka, selalunya kanak-kanak itu tidur di biliknya sendiri namun semalam (Ahad) mangsa tidur di bilik bapanya menyebabkan mereka gagal mencarinya untuk dibawa keluar bersama," katanya.

Soffian berkata nenek mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di tangan kanan dan dia telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya rumah yang dihuni mangsa bersama ahli keluarganya itu mempunyai tiga bilik dan mereka dipercayai menyewanya dengan harga RM100 sebulan.

"Api dikatakan berpunca daripada rumah yang dihuni keluarga mangsa," ujarnya.

Beliau berkata mayat kanak-kanak perempuan yang merupakan anak tunggal itu selesai dibedah siasat di HPP kira-kira 12 tengah hari tadi sebelum dituntut ahli keluarganya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram