POLIS menahan sepasang suami isteri selepas dipercayai terlibat dengan kes rogol seorang remaja perempuan yang sebelum ini dilaporkan hilang dari kediaman mereka di Jasin, Melaka pada bulan lalu.
Pasangan suami isteri terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang, Selangor pada pukul 9.30 malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, lelaki berusia 36 tahun itu yang merupakan bapa tiri mangsa dan wanita 40 tahun, ibu kandung remaja terbabit diberkas sejurus tiba dari Sabah.
"Mangsa, berusia berusia 16 tahun berkenaan membuat laporan polis pada 6 April lalu dan memaklumkan dia dirogol oleh bapa tirinya sejak tiga tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, pasangan terbabit kini direman sehingga 15 April untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376B/109 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol dan bersubahat.
Pada 6 April lalu, media melaporkan remaja perempuan berkenaan hilang selama 20 hari sebelum dijumpai disatukan semula bersama keluarganya di Jasin 6 April lalu.
Menurut Jamil, gadis itu mengaku keluar dari rumahnya secara sukarela dan tinggal bersama rakannya sejak 18 Mac lalu.
"Polis Jasin akan terus melakukan siasatan untuk mengetahui lebih lanjut punca remaja berkenaan meninggalkan rumahnya walaupun gadis itu mengaku dia tidak dipujuk untuk melarikan diri atau dicederakan ketika tinggal bersama rakannya di Perak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram