Kes 3R disegerakan, hasil siasatan dikemuka ke pejabat Peguam Negara dalam 7 hari — Bukit Aman


  • 112
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Noorsiah berkata, tiga kertas siasatan membabitkan isu 3R telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara manakala empat lagi masih dalam siasatan.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pasukan itu yang ditubuhkan pada 22 Mac lalu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ.

"Objektif pasukan khas ini adalah memastikan siasatan dijalankan dengan segera dan (hasil siasatan) dikemukakan ke pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tujuh kertas siasatan melibatkan kes 3R dibuka bagi tempoh 27 Mac hingga Khamis lepas dengan empat daripadanya berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, dua membabitkan agama dan satu berbaur elemen perkauman.

Katanya tiga kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara manakala empat lagi masih dalam siasatan.

"Setakat ini, dua individu ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman manakala seorang lagi dalam proses dikesan,” katanya.

Noorsiah turut menasihati orang ramai agar tidak memuat naik gambar, video sensitif dan perkara yang melangkaui aspek 3R sehingga menyebabkan fitnah serta mengundang kemarahan masyarakat.

Beliau berkata orang ramai turut disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara.

"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta kesalahan yang termaktub mengikut Kanun Keseksaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram