ARTIS grafik, Fahmi Reza telah ditahan polis berhubung lukisan watak kartun monyet yang mengenakan pakaian seperti persalinan diraja.
Peguam Fahmi, Rajsurian Pillai berkata, anak guamnya ditahan kira-kira jam 4.20 petang Khamis.
“Tangkapan dilakukan Unit Siasatan Khas Bukit Aman di ibu pejabat polis Dang Wangi,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung hantaran yang dibuatnya pada Rabu.
“Dia akan dibawa untuk permohonan perintah reman di lokap polis Dang Wangi pada jam 9 pagi Jumaat,” katanya.
Fahmi dilaporkan mendapat panggilan daripada Bukit Aman memintanya hadir ke balai polis pada Khamis bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan.
“Saya ada menerima panggilan daripada Bukit Aman.
“Belum sampai 15 jam (sejak saya menyiarkan grafik sindiran itu) dan polis telah pun membuka kertas siasatan di bawah #AktaHasutan dan #AktaSakitHati,” katanya dalam catatan Facebook pada Khamis.
Fahmi berkata, dia diminta hadir ke balai polis pada petang Khamis.
Pada Rabu, Fahmi menyiarkan satu lukisan watak kartun The Powerpuff Girls, Mojo Jojo yang mengenakan pakaian seperti persalinan diraja. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram