Cheng Hoe akui kepentingan pemain berpengalaman


  • Podium
  • Ahad, 10 Okt 2021

CHENG Hoe memuji persembahan barisan pemainnya ketika menentang Uzbekistan pada Sabtu.
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui para pemain berpengalaman masih diperlukan dalam aksi antarabangsa.

Ujar Cheng Hoe, selain memerlukan pemain berpengalaman, skuad Harimau Malaya juga perlu dibarisi para pemain yang memiliki keinginan meningkatkan prestasi mereka.

"Secara keseluruhan, nampak lebih banyak perkara positif daripada negatif pada perlawanan dengan Uzbekistan ini berbanding ketika kita tewas kepada Jordan pada tempoh hari. Terdapat sedikit peningkatan dari segi persembahan pasukan dan juga pemain.

"Bukan saja penyerang, Faisal Halim yang nampak menonjol dalam kedua-dua perlawanan, secara keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan ke skuad Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember dan Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan," katanya dalam sidang media secara maya dari Amman, Jordan pada Ahad.

Tambah Cheng Hoe, prestasi skuad bimbingannya masih jauh jika dibandingkan dengan pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah.

"Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023," jelasnya.

Harimau Malaya tewas kepada Jordan 0-4 dan kalah kepada Uzbekistan 1-5 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan.

Skuad kebangsaan akan memulakan kempen Piala Suzuki AFF menentang Kemboja pada 6 Disember kelak. — Majoriti