WALAUPUN diakui ketiadaan beberapa pemain utama yang memberi kesan kepada aksi ketika menentang Jordan, Harimau Malaya wajar tampil lebih baik pada persahabatan kedua menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, pada Sabtu.
Dengan aksi yang dipersembahkan anak buah Tan Cheng Hoe Rabu lalu, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan terutamanya dalam membentuk keserasian antara pemain khususnya muka baharu.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kerja berpasukan antara pemain masih lagi kurang, sering hilang bola dan hantaran tidak tepat.
“Pemain juga macam tak tahu apa mereka buat di atas padang, tiada idea untuk mencorak permainan yang kemungkinan disebabkan tiada keserasian antara pemain baharu dan pemain senior dalam pasukan. Perlu diakui juga Jordan berada pada tahap berbeza.
"Kita pergi bukan sekadar makan angin dan ini melibatkan maruah bola sepak negara. Cheng Hoe perlu menerima dan mengkaji kekalahan ini dan come out dengan kombinasi yang lebih baik dalam perlawanan menentang Uzbekistan nanti.
“Sekurang-kurangnya pasukan kebangsaan mampu berikan tentangan sengit kepada Uzbekistan nanti walaupun kita tahu mereka sangat kuat,” katanya.
Harimau Malaya tewas 4-0 kepada Jordan dan kesemua gol lawan dihasilkan oleh Ali Olwan pada minit ke-34, 47, 49 dan Al Saify, minit ke-42.
“Seperti dikatakan oleh Cheng Hoe, perlawanan ini sebagai pendedahan kepada pemain baharu. Tetapi, kita juga mengharapkan aksi dan persembahan lebih baik dapat diberikan oleh pemain untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya. — Sinar Harian