MALAYSIA tidak boleh terus mengadakan perlawanan persahabatan menentang negara di ranking lebih rendah jika ingin melihat kemajuan prestasi pasukan, kata Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata Malaysia tidak menoleh ke belakang dalam mendepani cabaran intensiti permainan bola sepak moden dengan terus menyasarkan pasukan di ranking dunia lebih baik sebagai lawan untuk menguji keupayaan skuad kebangsaan.
Beliau berkata fokus pasukan juga adalah memastikan tahap prestasi barisan pemain negara semakin meningkat dari semasa ke semasa.
"Cuma kadang-kadang dalam aspek kejurulatihan, diperlukan juga perlawanan menentang pasukan di ranking lebih rendah. Maksudnya, kita ingin lebih perlawanan berintensiti tinggi dan mungkin sesekali jika ada keperluan, baru lawan pasukan lebih rendah," katanya.
Mohd Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata meskipun kerap menentang negara di ranking lebih baik, sekiranya gagal meraih keputusan positif ia berpotensi menyebabkan pemain hilang keyakinan.
Pada masa sama, beliau berkata skuad kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe sudah mula mendapat perhatian pasukan di ranking lebih baik tetapi berdepan kekangan untuk mengadakan perlawanan susulan impak penularan Covid-19.
Menurut Mohd Yusoff, kebelakangan ini antara pasukan menyatakan hasrat untuk beraksi menentang skuad kebangsaan adalah pasukan terbaik di rantau Asia, Iran, yang menduduki ranking ke-22 dunia.
Selain Iran, Mohd Yusoff berkata negara di kedudukan ke-99 dunia, Palestin dan India (ke-107) turut menunjukkan minat menentang skuad kendalian Cheng Hoe.
"Kalau dulu mungkin kita sukar dapatkan pasukan yang baik untuk bertanding dengan pasukan negara tetapi sekarang senario itu nampak sudah mula berubah. Banyak pasukan baik sekarang hendak main dengan kita tetapi masalahnya tidak boleh diadakan di Malaysia disebabkan SOP tertentu.
"...dan apabila kita pula ingin bermain di sana (gelanggang lawan) balik nanti kena kuarantin, sedangkan pemain-pemain negara masih ada banyak perlawanan (saingan tempatan) bersama pasukan masing-masing," katanya.
Pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula 4-12 Okt ini yang menyaksikan saingan Piala Malaysia 2021 ditangguhkan seketika, Malaysia dijadual menentang Jordan dan Uzbekistan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan.
Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di pada 6 Okt, dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Okt. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram