Pemimpin politik 'kantoi' guna gelaran Datuk palsu untuk tujuan peribadi


  • Politik
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Pemimpin politik terbabit mendakwa dirinya menerima anugerah kebesaran dengan gelaran 'Datuk' daripada Istana Pahang pada 24 Oktober 2017. — Gambar hiasan

TINDAKAN seorang pemimpin politik yang didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang palsu untuk tujuan peribadi dan perniagaannya akhirnya didedahkan pada Jumaat.

Wakil Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ampang, Mohammad Afiq Tahar membangkitkan isu tersebut membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan oleh individu terbabit.

Mohammad Afiq berkata, pihaknya menerima surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor pada 23 Mac lalu yang mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.

"Beliau yang menggunakan gelaran 'Datuk' sebelum ini memegang jawatan dalam pimpinan parti di peringkat bahagian sebelum dipecat empat tahun lalu dan kini kembali aktif di arena politik arus perdana Selangor di peringkat parti Umno serta Barisan Nasional.

"Namun, ada beberapa perkara yang mencurigakan mengenai dirinya apabila dia dikaitkan dengan perolehan anugerah Datuk palsu daripada Istana Pahang untuk tujuan peribadi dan perniagaan yang diceburinya," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohammad Afiq turut mendakwa individu terbabit menggunakan simbol gelaran Datuk Istana Pahang pada kenderaannya selain menggunakan teknik ubah suai foto istiadat dirinya dikurniakan pingat kebesaran.

Namun beliau mendakwa dirinya difitnah dan telah membuat laporan polis baru-baru ini dengan mengatakan dirinya menerima anugerah kebesaran itu pada 24 Oktober 2017.

Bagaimanapun, Mohammad Afiq memaklumkan penyamaran status 'datuk' tersebut dilaporkan kepada pihak polis dan disahkan oleh Bahagian Protokol Istana Kerajaan Negeri Pahang melalui satu emel apabila hasil carian mendapati tiada rekod mengenai individu berkenaan dinamakan bagi anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang (DIMP) itu.

"Dakwaan ini adalah sesuatu yang serius dan siasatan pihak berkuasa perlu dijalankan segera lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang terlibat secara aktif dalam politik dan perniagaan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan implikasi yang besar kepada masyarakat.

"Saya juga tidak mahu perkara yang dilakukan oleh beliau ini dikaitkan dengan Pemuda Umno kerana ini adalah kesalahan peribadi dan tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan nama baik Pemuda Umno Ampang,” katanya.

Pada Mac 2021 lalu, isu pemakaian status dan gelaran 'Datuk' palsu pernah dibangkitkan oleh Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) Datuk Abdul Razak Dawood apabila trend tersebut semakin berleluasa dan menyebabkan ramai pemegang asli gelaran berkenaan berasa malu dan aib.

Mohammad Afiq berkata, ramai ahli perniagaan dilihat sengaja bermegah dan menggunakan gelaran Datuk untuk mendapatkan pengaruh bagi menarik perhatian golongan tertentu termasuk bagi memerangkap orang ramai dalam usaha menjayakan matlamat perniagaan atau agenda politik mereka.

Katanya orang ramai boleh membuat laporan sekiranya merasakan ada orang menyamar dan memakai gelaran palsu, tidak perlu tunggu buat aduan kepada kita (MDPM) bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dijalankan.

"Untuk seseorang individu mendapat gelaran Datuk di peringkat Persekutuan, kami hanya membenarkan umur 45 tahun ke atas, jadi orang ramai perlu ada perasaan syak sekiranya melihat ada antara golongan muda sewenang-wenangnya menggunakan gelaran ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram