SEPERTI kata pepatah lama, ikan busuk dari kepala. Kalau kepala sudah busuk, ia dengan mudah merebak ke bahagian badan dan ekor.
Itulah taktik yang digunakan oleh musuh-musuh Umno yang sentiasa mencari ruang untuk merobek kekuatan parti dengan menyerang pucuk pimpinan Umno termasuk Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik satu hantaran Suara Anak Negeri di Facebook Umno Kini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) juga tidak akan dibiarkan untuk terbang tinggi oleh musuh-musuh parti.
"Dalam politik, menggunakan taktik 'ikan rosak dari kepala' akan sentiasa diperkuatkan untuk menyerang Presiden parti.
"Bagi mereka, jika imej Presiden rosak, maka rosaklah parti keramat ini. Sememangnya setiap Presiden Umno terpaksa mengharungi duri dan ranjau dari pihak lawan," katanya.
Menurutnya lagi, musuh-musuh Umno juga pasti akan menyerang Tok Mat yang begitu meyakinkan ketika menjawab soalan soalan di Parlimen sebagai Menteri Pertahanan.
"Mereka mendapati bahawa mereka kini perlu berhadapan dengan Tok Mat, seorang sosok politik yang bukan calang-calang keupayaannya.
"Kejayaan Tok Mat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sudah cukup meyakinkan bahawa Umno mempunyai kepimpinan yang berkemampuan," katanya.
Suara Anak Negeri berkata, tidak lama lagi, Pilihan Raya Negeri di lima buah negeri akan mencuri perhatian para pengundi yang turut menyaksikan perang saraf bermula.
"Maka kita akan sekali lagi ditenggelami oleh kebanjiran maklumat yang mengelirukan. Ramai yang akan menjadi mangsa dan ketika itu jugalah sikap kurang berhati-hati akan merugikan kita semua.
"Para propagandis musuh akan sentiasa memperlekehkan parti politik tertua negara dan merencana kebencian ramai terhadap parti yang telah bertanggungjawab menyemarakkan semangat nasionalisme di tanah air ini.
"Matlamat akhir mereka adalah supaya para pengundi akan menolak Umno," katanya.
Tambahnya, adalah malang sekiranya rakyat tertipu dengan dakyah dan propaganda kebencian yang disemai terhadap Umno.
"Jika ini berterusan, negara akan kehilangan para pemimpin yang berwibawa untuk membangun negara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram