Tunjuk hebat buat aksi pacak 100 meter, joki Pakistan kena cekup polis Kluang


  • 112
  • Khamis, 06 Apr 2023

Polis menahan lelaki Pakistan yang melakukan aksi 'wheelie' di KM 85.5 hingga KM 85.6 Jalan Kota Tinggi - Kluang, Johor pada petang Rabu. — Facebook/Kluangparanormalresearch-KPR

KEGHAIRAHAN seorang lelaki Pakistan melakukan aksi 'wheelie' di atas motosikal di KM 85.5 hingga KM 85.6 Jalan Kota Tinggi - Kluang, Johor mengundang padah apabila dia ditahan oleh pihak polis pada kira-kira jam 6.45 petang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan satu kiriman video tular berdurasi 23 saat di Facebook memaparkan lelaki berusia 22 tahun terbabit menunggang motosikal dan melakukan aksi berbahaya tersebut di atas jalan raya berkenaan pada Selasa yang turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, pihak polis kemudiannya bertindak daripada hasil risikan memberkas lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemotong rumput di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu, Kluang pada petang Rabu.

"Suspek kemudiaanya diarahkan untuk memandu arah polis ke rumahnya di Taman Sri Jaya, Kluang, Johor dan merampas sebuah motosikal jenis SYM VF3i yang suspek gunakan semasa membuat aksi berbahaya tersebut.

"Suspek turut ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

WhatsApp Image 2023-04-06 at 2.09.08 PM (1)

Tangkap layar video lelaki Pakistan sebelum melakukan aksi 'wheelie' di KM85.5 hingga KM85.6 Jalan Kota Tinggi - Kluang pada Selasa. — Facebook/Kluangparanormalresearch-KPR

Dalam pada itu, Bahrain memaklumkan suspek turut disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu, lesen motosikal (LKM) dan tidak memiliki perlindungan insuran.

Beliau bagaimanapun berkata, suspek mempunyai passport yang sah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kluang, polis, Pakistan, wheelie, motosikal