TikToker jual buah pinggang: Sengaja muat naik kenyataan palsu boleh dikenakan tindakan


  • Massa
  • Khamis, 06 Apr 2023

Tangkap layar permohonan maaf pengguna akaun TikTok yang sebelum itu tular angkara mahu menjual organnya demi kelangsungan hidup.

TINDAKAN memuat naik kenyataan palsu di platform sosial media secara senjaga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menurut peguam, Ng Xin Ru.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tular membabitkan seorang pengguna TikTok dari Malaysia yang menggemparkan warganet selepas mendakwa mahu menjual buah pinggangnya demi kelangsungan hidup pada 25 Mac lalu.

Namun begitu, lelaki tersebut yang menggunakan nama akaun, @daddy_keacy kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka pada Rabu dan mengakui tidak berhajat untuk menjual organnya.

Katanya, rakaman dibuat sebelumnya itu yang diambil ketika dia menghadiri temu duga kerja di Singapura bertujuan untuk meraih perhatian di samping menambah pendapatan sampingannya di TikTok.

Xin Ru berkata, kesalahan tersebut terletak di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 iaitu atas kesalahan memuat naik komen atau kandungan yang boleh menyakitkan hati seseorang.

"Jika didapati melakukan kesalahan ini, seseorang individu boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM50,000 ataupun penjara tidak lebih setahun," katanya kepada Majoriti.

Video tular itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang membangkitkan mengenai isu tersebut bagi menggambarkan kesusahan dihadapi rakyat di Parlimen pada Isnin.

Seksyen 233 menggariskan mengenai kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian oleh seseorang dengan secara sedar antaranya dengan memulakan penghantaran kandungan palsu.

Dalam pada itu, Xin Ru berkata, penjualan organ dalaman manusia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram