DUA pemuda terselamat daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja mengibaratkan diri mereka terlepas dari neraka selepas berjaya pulang ke tanah air.
Mangsa masing-masing berumur 17 dan 20-an itu mendedahkan pada mulanya diri mereka dipaksa menjalani latihan sebagai scammer untuk memperdayakan orang ramai menerusi sindiket Macau Scam.
Pengalaman dilalui mangsa hanya mahu dikenali sebagai Fong, 20-an, dari Menglembu, Perak selama tiga bulan itu memerlukan dirinya melakukan penipuan melalui aplikasi di laman-laman sosial.
"Bagaimanapun, selepas kami gagal untuk melaksanakan tugas dan memuaskan hati sindiket itu kami kemudiannya di jual kepada beberapa pihak lain pada harga yang berbeza-beza.
"Sepanjang di sana, kami dilayan seperti binatang seolah-olah berada di neraka kerana kerap diseksa dan diberikan makanan 'kotor' termasuk organ dalaman binatang dan kepala babi," katanya pada Jumaat.
Fong ditemui pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dihadiri Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, David Cheong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.
Menurut Fong, diri mereka mula terjebak dengan aktiviti haram itu kerana dijanjikan peluang pekerjaan di negara berkenaan dengan gaji yang lumayan sebagai kakitangan di pusat perjudian.
"Tetapi kami tidak sangka kerja yang dimaksudkan itu adalah 'scammer' dengan membuat panggilan 15 jam sehari untuk menipu orang ramai namun kami berjaya 'lari' dan dibawa pulang ke Malaysia," katanya.
Kedua-dua remaja malang ini dibawa pulang Chon Siang dari Thailand selepas kedua-dua mereka menghubungi ADUN Teruntum itu untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan mereka.
Walaupun pelbagai prosedur perlu dilalui terlebih dahulu namun kedua-dua mereka selamat tiba di tanah air pada Khamis dan akan pulang ke kampung halaman mereka dalam tempoh terdekat ini.
Seorang lagi mangsa, hanya mahu dikenali sebagai Mark, 17, yang hanya fasih berbahasa Cina berkata, dia dijemput keluarganya yang kini sudah berada di ibu negara untuk pulang ke Sarawak.
Mark berada dalam genggaman sindiket lebih lama berbanding Fong dan sepanjang tujuh bulan remaja itu teruk diseksa malah mendedahkan ada 'tahanan' yang bunuh diri kerana tidak tahan diseksa 'pengawal'.
Pengalaman dilalui kedua-dua remaja ini sudah pasti tidak mudah untuk dilupakan malah mereka turut mendedahkan masih ramai warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket masih berada di negara itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram