MESEJ yang kini tular melalui media sosial mendakwa remaja kini menjadi sasaran penculik untuk mendapatkan organ adalah tidak benar, kata Bukit Aman.
Sekretariat Komunikasi Korporat Ketua Polis Negara Supt Skandaguru Anandan berkata, mesej itu mendakwa sindiket penculikan itu menggunakan Proton Wira dan sebuah van putih.
“Mesej itu turut menyenaraikan harga organ penting seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (7 Februari).
Supt Skandaguru berkata, tiada laporan polis dibuat berkaitan penculikan dan penjualan organ seperti yang didakwa dalam mesej yang tular itu.
"Kami mendapati mesej palsu itu telah wujud sejak 2016 dan sejak itu telah disunting semula dan disiarkan di beberapa platform media sosial baru-baru ini," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita yang tidak disahkan kebenarannya.
"Berkongsi atau menyebarkan berita palsu itu boleh menyebabkan orang ramai gusar," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram