JUMLAH murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di dalam negara meningkat kepada 107,020 setakat 31 Januari 2023 berbanding 97,220 orang pada 2021 dan 93,951 (2020), menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus menyediakan akses pendidikan kepada kumpulan tersebut dengan menyediakan keperluan pendidikan khas bergantung kepada tahap kefungsian murid, intervensi dan sokongan diperlukan.
Katanya, kementerian kini juga sedang menggiatkan lagi usaha memantapkan program pendidikan khas di Malaysia selaras dengan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM melalui penekanan terhadap enam teras strategik.
Ia membabitkan antaranya penambahbaikan akses dan mobiliti terutama dalam menyediakan sekurang-kurangnya empat kemudahan asas kepada kumpulan murid berkenaan.
"Ia merangkumi kemudahan susur landai, susur tangan, tandas mesra orang kurang upaya (OKU), parkir OKU, dan menaik taraf kelas pendidikan khas serta Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
"Seterusnya, memastikan pemantapan sumber manusia dengan berfokus kepada peningkatan profesionalisme secara berterusan kepada guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) dan pemantapan pengajaran dan pembelajaran, kokurikulum dan pengembangan potensi MBPK.
"Selain itu, KPM turut memberikan penekanan untuk menambah baik sistem sokongan dengan menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada MBPK bagi meminimumkan halangan mereka daripada mengikuti pendidikan berkualiti dan saksama, pemantapan pengurusan data dan pemantapan tadbir urus," katanya.
Beliau berkata demikian ketikam menjawab soalan lisan daripada Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Dewan Negara pada Rabu mengenai status semasa pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan atau Zero Reject Policy oleh KKM.
Dasar tersebut merujuk kepada penempatan persekolahan murid MBPK di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah bawah KPM.
Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 MBPK terdiri daripada enam kategori iaitu ketidakupayaan penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, masalah pembelajaran atau pelbagai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram