Mogok Doktor Malaysia nyahaktif akaun media sosial


  • Massa
  • Selasa, 04 Apr 2023

Kumpulan itu sebelum ini menggunakan akaun tersebut untuk menyebarkan maklumat berkaitan mogok terbabit.

KUMPULAN yang mengancam mengadakan mogok doktor kontrak selama tiga hari iaitu Mogok Doktor Malaysia telah menyahaktifkan akaun Instagramnya pada Selasa ketika memasuki hari kedua gerakan tersebut dijalankan.

Kumpulan itu sebelum ini menggunakan akaun tersebut untuk menyebarkan maklumat berkaitan mogok terbabit.

Terdahulu, Mogok Doktor Malaysia mendakwa gerakan itu "berjaya mencapai matlamatnya" walaupun laporan berita menunjukkan sebaliknya apabila kebanyakan hospital dilaporkan beroperasi seperti biasa.

Apabila didesak untuk mendedahkan jumlah peserta, jurucakap kumpulan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Jamal mendakwa kira-kira 3,000 doktor mengambil bahagian.

Katanya, kesan mogok itu dilihat tidak ketara kepada sektor kesihatan negara kerana bilangan orang yang menunggu di hospital pada hari Isnin adalah sedikit, menyebabkan tiada sebarang insiden ketidakcukupan tenaga kerja dilaporkan berlaku.

"Kadar pesakit berkurang sebanyak 30 peratus secara keseluruhan, tetapi pada masa yang sama ada doktor kontrak yang mengambil cuti perubatan atau kecemasan kerana mogok dan beberapa pegawai perubatan terpaksa menjalankan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh doktor pelatih," katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap kumpulan, kesan mogok itu dilihat tidak begitu jelas kepada sektor kesihatan negara kerana bilangan menunggu di hospital pada hari Isnin berkurang sebanyak 30 peratus. — Gambar hiasan

“Nampak seperti tiada apa-apa yang berlaku kerana orang ramai berkurangan, jadi tenaga kerja mencukupi untuk menguruskan.

“Walaupun kami mungkin tidak melibatkan kebanyakan doktor kontrak, kami telah membawa isu doktor kontrak kepada mata umum dan membawanya kepada perhatian ahli politik yang berkuasa.

"Ini hanyalah amaran awal. Jika mereka tidak menangani isu doktor kontrak dengan betul, maka mogok seterusnya akan lebih dahsyat," tambahnya.

Ditanya sama ada sasaran awal kumpulan itu iaitu 8,000 adalah sasaran yang terlalu tinggi, Dr Jamal berkata angka itu diperoleh daripada responden tinjauan dijalankan pada Februari lalu.

Mengulas mengenai punca menyebabkan mereka menjalankan mogok itu meskipun kerajaan sedang bekerjasama dengan kumpulan perubatan untuk menyelesaikan masalah berkaitan, beliau berkata, perkembangna itu masih tidak membuahkan hasil.

Tinjauan The Star menunjukkan tiada gangguan di hospital utama di Lembah Klang seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Keadaan sama juga didapati berlaku di Pulau Pinang, Johor Baru, Ipoh, Seremban dan Kota Kinabalu.

Kempen media sosial kumpulan itu juga dilihat tidak mendapat tarikan pada Isnin.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, berdasarkan pemeriksaan di kemudahan penjagaan kesihatan awam, tiada mogok doktor kontrak dilaporkan di fasiliti terbabit. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram