Sistem kesihatan berpotensi lumpuh, 'Black Monday' diteruskan esok — Mogok Doktor Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 02 Apr 2023

Mogok Doktor Malaysia meminta mereka yang menyokong gerakan itu supaya menukar gambar profil media sosial masing-masing sebagai tanda sokongan kepada gerakan itu.

MOGOK Doktor Malaysia meminta mereka yang menyokong mogok doktor kontrak Black Monday di seluruh negara supaya menukar gambar profil media sosial masing-masing sebagai tanda sokongan kepada gerakan itu.

“Untuk menyokong pergerakan kami, tukar gambar profil anda kepada warna hitam atau hitam putih. Bagi doktor bukan kontrak, sila pergi bekerja dengan memakai pakaian hitam,” kata pergerakan itu dalam catatan media sosial pada Ahad.

Ketika dihubungi, jurucakap kumpulan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Jamal memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan awam berkemungkinan bakal lumpuh.

"Kami jangka sistem penjagaan kesihatan awam akan lumpuh mulai esok dan hari seterusnya, serta menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan meletakkan jawatan daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata, bahagian bakal paling terjejas adalah jabatan kecemasan, bilik bersalin, jabatan pesakit luar dan klinik kesihatan yang mempunyai bilangan pegawai perubatan kontrak yang ramai.

Pada tahun 2021, terdapat kempen serupa dipanggil Code Black yang dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bahagian Pelatih dan kumpulan Pegawai Perubatan serta Pakar Perubatan (Schomos) sebagai bantahan terhadap sistem kontrak doktor pelatih (MO) yang tidak adil.

Snapinsta.app_337751249_535473585418995_41524907715426978_n_1080

Hantaran gambar di Instagram Mogok Doktor Malaysia berkenaan kempen yang dijalankan.

Bagaimanapun, ia merupakan kempen media sosial semata-mata dan tidak melibatkan sebarang demonstrasi.

Code Black berlangsung dari 1 Julai hingga 12 Julai 2021 dan memuncak dengan kempen Black Monday pada 12 Julai 2021 apabila kumpulan itu meminta penyokong menukar gambar profil peribadi, logo syarikat atau institusi mereka kepada warna hitam atau hita putih bagi 12 hari pertama kempen.

Doktor juga diminta bekerja seperti biasa dengan memakai pakaian hitam.

Satu lagi kumpulan dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak pula mengadakan walkout di seluruh negara pada 26 Julai tahun yang sama.

Mogok Doktor Malaysia yang akan diadakan dari 3 April hingga 5 April bakal menyaksikan doktor mengambil cuti kecemasan dan sakit untuk tempoh tiga hari sebagai tanda protes.

Kumpulan itu juga mendakwa terdapat kira-kira 3,000 peletakan jawatan oleh doktor yang bertugas bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang bulan ini.

Difahamkan juga cuti pelepasan telah dibekukan dengan amaran dikeluarkan supaya pegawai perubatan tidak menyertai mogok di beberapa hospital.

Memetik pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011, KKM turut mengeluarkan amaran di laman Facebooknya, menyatakan penjawat awam dilarang menyertai sebarang perhimpunan haram.

Ia berkata tindakan tatatertib boleh diambil sekiranya terdapat cukup bukti yang menunjukkan seseorang penjawat awam telah menyertai aktiviti tersebut.

Sebagai tindak balas, Dr Jamal mengulangi bahawa untuk kempen kali ini, tidak ada sebarang walkout atau demonstrasi bakal dijalankan..

"Kita tidak akan buat apa-apa demonstrasi atau walkout kali ini, jelas orang KKM langsung tidak faham," katanya.

“Mogok Doktor Malaysia mahukan apa yang dimahukan kelompok majoriti iaitu mogok kerja, tiada lagi rundingan secara aman dengan pihak berkuasa yang dianggap membuang dan tiada penambahbaikan,” katanya sambil merujuk kepada sistem kontrak yang diperkenalkan pada 2016 untuk menangani lebihan graduan perubatan.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan berkemungkinan bakal mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak di negeri itu sekiranya didapati mengambil bahagian dalam mogok dijangka berlaku serentak di seluruh negara pada Isnin.

If you go to any emergency departments at government hospitals, there are always large crowds waiting inside and outside. — Photos: Filepic

Jabatan kecemasan merupakan antara bahagian yang dijangka terjejas ekoran gerakan mogok berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya akan diambil selepas teguran dan nasihat diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, pengarah hospital di setiap daerah juga dinasihatkan untuk memastikan setiap pegawainya hadir menjalankan tugas pada Isnin.

"Perkhidmatan berjalan seperti biasa, itu jaminan kita. Kalau berlaku (mogok esok) tindakan akan diambil terhadap mereka yang ambil bahagian dalam mogok itu, sebagaimana arahan KKM.

"Kita akan beri nasihat dan teguran (dahulu), kalau langgar juga, mungkin ambil tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi pemantauan bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Dr Aman berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat sama ada terdapat mogok dalam kalangan doktor kontrak di Johor pada Isnin, sekali gus memberi jaminan dan memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka mendengar rintihan dan masalah dihadapi doktor kontrak di negeri itu dan menyampaikan hasrat mereka kepada KKM.

"Walaupun ia bukan bidang kuasa negeri, tetapi sebagai wakil kerajaan negeri, saya masih terbuka untuk mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat sampaikan hasrat mereka kepada pihak kementerian.

"Mudah-mudahan saya harap doktor kontrak, saya yakin dan percaya, mereka masing-masing ada hati dan berjiwa rakyat, berjiwa membantu pesakit,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram