Mogok Doktor Kontrak jangka 3,000 lagi bakal letak jawatan selepas 1 April


  • Massa
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Penganjur mogok berkenaan meminta doktor mengambil cuti kecemasan atau cuti perubatan pada 3 hingga 5 April ini sebagai tanda protes.

GERAKAN Mogok Doktor Malaysia yang mengancam untuk melakukan mogok di seluruh negara kini mendakwa pihaknya menjangkakan kira-kira 3,000 doktor bakal meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh beberapa hari lagi.

Katana, proses pemberhentian tersebut tidak terhad pada 1 April ini sahaja, iaitu tarikh yang ditetapkan kumpulan tersebut baru-baru ini.

"Dianggarkan 3,000 doktor kontrak mungkin meletak jawatan dalam bulan itu, tidak semestinya pada hari pertama April, kerana kebanyakan mereka kini sedang menunggu keputusan akhir temu duga untuk jawatan tetap yang diadakan seminggu lalu," menurut jurucakap bagi kumpulan tersebut kepada The Star.

Menerusi hantaran di media sosial pada 28 Mac lalu, kumpulan itu menggalakkan doktor yang ingin berhenti supaya meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada 1 April 2023.

Bagi mogok yang dirancang dari 3 April hingga 5 April depan, kumpulan itu seterusnya mendakwa cuti pelepasan telah dibekukan di beberapa hospital untuk tarikh tersebut.

Sebelum itu, penganjur mogok berkenaan meminta doktor mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit pada 3 hingga 5 April ini sebagai tanda protes dan menambah bahawa mereka tidak menggalakkan demonstrasi atau flashmob.

Seorang wakil kumpulan itu, yang enggan namanya didedahkan memberitahu The Star pada 28 Mac, dia memutuskan meneruskan mogok secara aman dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit kerana berpandangan demonstrasi atau walkout akan mendatangkan bahaya.

"Kami mengesahkan dianggarkan 8,000 daripada kira-kira 20,000 pegawai perubatan kontrak (MO) akan menyertai mogok atau acara peletakan jawatan beramai-ramai ini," kata wakil itu ketika dihubungi.

download

Antara tuntutan dibuat adalah penyerapan semua MO kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; kenaikan gaji pokok dan kadar elaun on call lebih tinggi.

"Selain anggaran 3,000 MO kontrak akan meletak jawatan pada 1 April, selebihnya tidak akan hadir bekerja dari 3 hingga 5 April," kata wakil itu.

Tuntutan dibuat kumpulan berkenaan termasuk penyerapan semua MO kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; kenaikan gaji pokok dan kadar elaun on call lebih tinggi.

Selain itu, tuntutan lain meliputi penyelesaian kepada kekurangan pakar, MO dan pegawai perubatan dalam latihan serta pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Ia juga menggesa pengurangan waktu panggilan dan kerja untuk MO dan pegawai rumah, manakala waktu panggilan tidak boleh melebihi enam kali sebulan, dan waktu bekerja perlu dihadkan kepada 60 jam seminggu.

Laman Instagram Mogok Doktor Malaysia kini mempunyai 13,900 pengikut.

Dalam satu kenyataan pada 30 Mac lalu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai menggesa kumpulan itu membatalkan rancangan melancarkan mogok dan mengelak sebarang tindakan mungkin menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan orang ramai.

"Kami merujuk kepada siaran media sosial kumpulan #MOGOKDOKTORKONTRAK yang memberitahu rakyat Malaysia supaya tidak pergi ke kemudahan penjagaan kesihatan awam dari 3 hingga 5 April kerana mogok dirancang kumpulan doktor kontrak ini," katanya.

"Mogok akan menyebabkan kesulitan besar bagi mereka yang sakit, cedera dan warga emas yang mungkin bergantung kepada penjagaan kesihatan awam.

"Kami ingin mengingatkan kumpulan doktor tentang sumpah yang mereka buat untuk 'first do no harm' (pertama, tidak mendatangkan mudarat) apabila mereka mengangkat sumpah sebagai doktor.

"Rakan dan keluarga mereka yang bergantung kepada penjagaan kesihatan awam juga boleh terjejas jika mereka meneruskan mogok, jadi kami berharap mereka membuat keputusan yang bijak untuk tidak meneruskan mogok itu," tambahnya.

Beliau juga menggesa kumpulan itu untuk segera berhenti menggalakkan peletakan jawatan beramai-ramai kerana ia boleh membawa akibat yang serius.

"Ia bukan sahaja boleh melumpuhkan jabatan tertentu, malah seterusnya, ia juga boleh menyebabkan krisis besar dalam keseluruhan sistem penjagaan kesihatan.

"Penyampaian penjagaan kesihatan boleh terjejas malah boleh mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya.

PUTRAJAYA, 6 Jan -- Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyampaikan amanat kepada warga kerja kementeriannya pada majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kesihatan hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Zaliha berkata, pembentukan suruhanjaya pembaharuan kesihatan akan menangani isu yang dibangkitkan doktor

"MMA memandang serius perkara ini dan berharap kumpulan itu tidak akan mengambil tindakan sedemikian. Jika ada sesiapa yang bercadang untuk meletakkan jawatan, ia harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab dengan notis yang sewajarnya diberikan.

"Kami sekali lagi ingin menyatakan bahawa MMA tidak membenarkan mogok sebagai cara untuk menekan kerajaan menyelesaikan isu doktor kontrak," tambahnya.

Beliau berkata persatuan itu telah berhubung dengan kerajaan dalam hal berkaitan profesion tersebut dan akan terus terlibat dalam pelbagai isu untuk membawa penambahbaikan diperlukan kepada sistem dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 30 Mac berkata, pembentukan Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan akan menangani isu yang dibangkitkan doktor, sambil menambah beliau "mengambil perhatian" terhadap aduan mereka.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata, mogok bukanlah penyelesaian terbaik untuk menangani isu berkaitan profesion perubatan atau mana-mana profesion lain.

Sementara itu, Hartal Doktor Kontrak pada lima hari lalu berkata, kumpulan itu dan sekutunya tidak dikaitkan dengan mogok tersebut.

"Telah menjadi perhatian kami bahawa terdapat beberapa pergerakan untuk menyeru mogok seluruh negara dalam kalangan doktor pada tarikh yang disebut," katanya menerusi hantaran di Facebook sebagai respons kepada gesaan Mogok Doktor Malaysia tersebut.

“Bagi pihak Hartal Doktor Kontrak, kami ingin memaklumkan kepada anda bahawa ini bukan datang daripada kami atau sekutu kami, dan sehingga kini, pelbagai perbincangan dan usaha telah dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak, dan yakinlah, tiada langkah sedemikian dirancang buat masa ini," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram