
JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan laman web rasmi jabatan itu digodam pada pukul 2 pagi Selasa oleh penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serangan siber berkenaan adalah berbentuk defacement dan ia mengakibatkan muka hadapan laman web jabatan tersebut ditukar kepada paparan imej lain.
Beliau bagaimanapun berkata, capaian berkaitan dengan perkhidmatan Imigresen seperti myIMMs, SSPI dan lain - lain tidak terkesan dengan insiden tersebut.
"Imigresen telah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja-kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web," menurutnya dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, warganet menimbulkan persoalan mengenai status laman web Imigresen selepas platform itu gagal untuk diakses dan turut menunjukkan paparan oleh penggodam menggunakan nama 'CaptainSmok3r'.
Tangkap layar menunjukkan paparan di laman web rasmi Imigresen pada Selasa. — Twitter
Susulan daripada itu, Imigresen mengeluarkan kenyataan bahawa jabatan itu sedang dalam proses menyelenggara laman web berkenaan.
Pada masa sama, Ruslin menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.
Jelasnya, Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen telah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia bagi membantu tindakan pengukuhan laman web.
"Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat petang ini (Selasa)," ujar beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram