Pendigitalan mampu tingkatkan daya saing dalam kalangan usahawan


  • Bizz
  • Jumaat, 26 Nov 2021

MOHD Zuki memberitahu, usahawan dan peniaga mikro dan sederhana perlu mempunyai perubahan minda dan menerima pendigitalan. —Bernama

USAHAWAN dalam kalangan ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) disaran menguasai aspek pendigitalan perniagaan, bagi meningkatkan daya saing, kata Ketua Setiausaha Negara merangkap Penasihat Puspanita, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, pendigitalan bukan sahaja penting untuk memulihkan operasi perniagaan bagi usahawan yang terkesan akibat Covid-19 pandemik, ia juga bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan.

"Pendigitalan ini bukan sahaja ditekankan dalam sektor awam dan sektor korporat, bahkan juga para usahawan dan peniaga mikro dan sederhana perlu mempunyai perubahan minda, untuk berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan,” katanya pada majlis penutup Seminar Keusahawanan Keluarga Malaysia dan Karnival Jualan Barangan Tempatan anjuran Puspanita, Putrajaya pada Jumaat.

Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Norizam Che Mohd Nor.

Mohd Zuki berkata, penganjuran program sedemikian bukan sahaja memberi ilmu keusahawanan kepada peserta, malah membantu ahli dan peniaga memperluaskan pasaran dan mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurutnya, karnival jualan itu disertai 82 peniaga telah berjaya menjana jualan kira-kira RM75,000 sepanjang dua hari.

Program anjuran Puspanita itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mohd zuki, puspanita, pendigitalan, peniaga