Pelajar kolej dicekup polis edar brownies ganja sekitar KL


  • 112
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Sejumlah 6kg brownies mengandungi dadah jenis ganja berjaya dirampas polis dalam satu serbuan. — PDRM

SEORANG pelajar kolej berusia 19 tahun ditahan kerana didakwa mengedar brownies ganja.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, suspek ditahan susulan serbuan di Jalan 9, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang pada 25 Mac lepas.

“Kami merampas enam kilogram (kg) brownies mengandungi ganja bernilai kira-kira RM21,000.

"Kami percaya pelajar lelaki itu menjual brownies ganja selama kira-kira tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Pihak polis juga sedang menyiasat dari mana dia memperoleh ganja itu.

“Suspek juga didapati negatif dadah,” tambahnya.

2002580

Pihak polis menemui ganja yang ditanam dalam sebuah lubang sedalam satu meter. — PDRM

Sementara itu, dalam serbuan berbeza, seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah susulan serbuan di Subang Jaya, Selangor pada 27 Mac.

“Sebanyak 56 kg ganja bernilai RM166,000 dan 1kg syabu bernilai RM26,000 dirampas dalam serbuan itu.

"Ganja itu ditanam dalam sebuah lubang sedalam satu meter yang terletak di kawasan lapang berhampiran," katanya.

Siasatan awal menunjukkan suspek diupah untuk menjaga bekalan dadah, katanya.

“Kita akan siasat lebih lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Yahaya berkata, usaha mengesan saki baki anggota kedua-dua sindiket itu masih diteruskan.

“Dadah yang dirampas daripada kedua-dua serbuan itu mungkin dapat dibekalkan kepada 126,000 pengguna dadah,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai memberi kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan haram terutama berkaitan dadah.

“Kita harap mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran.

“Kerjasama antara polis dan orang awam adalah penting dalam membendung jenayah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram