Perbicaraan kes 1MDB ditangguhkan susulan kematian Sri Ram


Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun. — Bernama

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, pada Isnin menangguhkan perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan itu setelah permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib susulan kematian mengejut Datuk Seri Gopal Sri Ram pada Ahad, "figura umpama seorang bapa kepada pasukan pendakwaan kes 1MDB”.

"Yang Arif, Sri Ram adalah bos dan ketua pasukan kami dan mendiang seperti bapa kepada kami semua. Hari ini (Isnin) dijadualkan bagi menyambung perbicaraan. Tetapi memandangkan kematian mengejut mendiang (Sri Ram), kami merayu penangguhan selama dua hari,” katanya.

Beliau memohon penangguhan pada pada Isnin dan Selasa bagi membahagikan semula beban tugas kes tersebut dan menghadiri majlis pengkebumian Sri Ram pada Selasa.

"Majlis penghormatan bagi bukan ahli keluarga akan berlangsung di Nirvana 2 Kuala Lumpur antara 8 pagi hingga 1 tengah hari dan jasad mendiang kemudiannya akan disemadikan di Nirvana Memorial Park Shah Alam, Selangor,” kata Ahmad Akram.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah permohonan penangguhan tersebut.

"Kami tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu dan ucapan takziah kami zahirkan kepada pasukan pendakwaan," kata peguam veteran itu.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan Khamis untuk menyambung perbicaraan.

Perbicaraan kes 1MDB ditetapkan untuk diteruskan hari ini dengan pasukan pembelaan akan menyambung pemeriksaan balas terhadap Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping.

Sri Ram meninggal dunia semalam pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Mendiang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.

Mendiang merupakan pendakwa utama dalam kes rasuah 1MDB membabitkan Najib.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram