Rohana pulangkan aset berkaitan 1MDB bernilai AS$10 juta


  • Primer
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Siasatan SPRM terhadap Rohana (kanan) yang juga bekas teman wanita Tim Leissner sudah selesai.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan sudah memulangkan wang AS$10 juta (RM44.3 juta) dan aset dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan Utusan Malaysia, Rohana yang juga bekas teman wanita pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner juga sudah menyerahkan wang tunia dan aset kepada kerajaan tahun lepas.

"Beliau memulangkan semua wang dan aset (yang terlibat) kepada SPRM, yang kemudian diserahkan kepada kerajaan.

"Dengan itu, siasatan SPRM berhubung Rohana sudah pun selesai. Ketika ini, tiada apa-apa lagi yang diperlukan daripadanya," menurut sumber akhbar berkenaan.

Namun, sumber itu tidak memberitahu butiran terperinci mengenai dan aset yang dipulangkan serta prosedur yang terlibat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis Parlimen berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui sama ada Rohana sudah memulangkan AS$10 juta (RM44.3 juta) dalam aset yang diperolehnya daripada Leissner.

Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sama ada Rohana sudah memulangkan dana itu.

Beliau juga ingin mengetahui berapa banyak aset berkaitan 1MDB sudah dipulangkan.

Pada Februari 2022, Leissner memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) bahawa Rohana, yang mempunyai hubungan sulit dengannya, bertindak memeras ugutnya untuk membelinya hartanah AS$10 juta (RM44.3 juta) di London.

Leissner memberitahu juri dalam perbicaraan bahawa, hubungan mereka berlangsung dari 2003 hingga 2013, apabila beliau memutuskan hubungan untuk berkahwin dengan model AS, Kimora Lee Simmons.

Leissner berkata, beliau membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM44.3 juta) di London selepas Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

"Dia sangat kecewa kerana saya memutuskan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya, dengan Kimora," Leissner memberi keterangan.

Pada April 2022, sumber SPRM memberitahu The Star bahawa Rohana pada dasarnya bersetuju untuk memulangkan AS$10 juta (RM44.3 juta) yang diterimanya daripada Leissner.

Leissner, bekas rakan kongsi dengan Goldman Sachs di Asia, mengaku bersalah pada 2018 atas konspirasi untuk mencuci wang dan menjadi saksi utama pendakwaan AS terhadap bekas rakan sekerjanya di Goldman, Roger Ng.

Susulan itu, SPRM mula menyiasat Rohana, manakala beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bersedia membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram