SEORANG lelaki yang menyamar dengan memakai telekung untuk mencuri di dalam masjid, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis atas dua pertuduhan mencuri telefon pintar milik dua jemaah wanita pada minggu lepas.
Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di dua buah masjid di Shah Alam, Selangor.
Namun, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menangguhkan hukuman terhadap Mohamad Amirul Shafiq bagi menunggu laporan sosial memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Amirul Shafiq dituduh mencuri sebuah telefon pintar jenis iPhone X milik Maznah Selamat di Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18, Shah Alam pada pukul 6.25 pagi, 20 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, jurujual itu didakwa mencuri sebuah telefon pintar jenis Samsung Z Flip 3 milik Kasmunah Abd Rahman di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam pada pukul 8.50 malam, 20 Disember lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohamad Redza Azhar menetapkan RM3,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dan 17 Januari ini bagi mendengar laporan sosial tersebut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram