Junjung titah Sultan, DUN Johor guna istilah pengimbang ganti pembangkang


  • Politik
  • Isnin, 20 Mac 2023

Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang. — Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua Ahli DUN Johor pembangkang, menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Khamis lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, Johor.

"Sebagaimana yang telah dimulakan oleh Adun Machap (Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi) semalam (Ahad), kita akan menggunakan istilah pengimbang, lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN yang lebih berwibawa.

"Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih," kata beliau pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Isnin.

Pada titah perasmian pembukaan, Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang, berikutan peranan mereka yang disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Menurut Sultan Johor, gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai, susulan peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

Baginda bertitah, mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram