13 ahli Majlis Eksekutif Pejuang termasuk saya letak jawatan — Marzuki


  • Politik
  • Isnin, 16 Jan 2023

Marzuki mendedahkan ramai ahli berjawatan dalam Pejuang sudah meletakkan jawatan.

SERAMAI 13 ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah meletakkan jawatan seperti yang dimaklumkan bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Menurut Marzuki, banyak peletakan jawatan berlaku berikukan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak lagi menjadi Pengerusi Pejuang pada Disember lalu.

"Sebab itu saya terkejut. Hakikatnya, parti itu sepatutnya membuat pengumuman bahawa 13 ahli Majlis Eksekutif Pusat telah pun meletak jawatan.

"Saya juga telah meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Pejuang, tetapi perkara itu tidak diumumkan oleh parti.

"Jadi, saya tidak tahu sama ada peletakan jawatan saya diterima," kata Marzuki.

Jelasnya, dia dan pemimpin Pejuang lain yang melepaskan jawatan mereka akan meneruskan perjuangan mereka untuk hak Melayu dan Gerakan Tanah Air (GTA) akan menjadi platform utama mereka.

"Buat masa ini, kami masih menunggu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mendaftarkan permohonan GTA kami," katanya.

Pejuang diasaskan oleh Dr Mahathir pada 2020 selepas bekas perdana menteri itu meninggalkan Bersatu.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Pejuang tewas di semua 369 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Semua calon termasuk Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kehilangan wang deposit pada PRU15. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram