Tercalon Speaker Parlimen, Johari letak jawatan Adun Gurun


  • Politik
  • Ahad, 18 Dis 2022

Johari mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah dan surai itu sah diterima bertarikh 13 Disember 2022.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Datuk Johari Abdul mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu memberitahu bahawa beliau mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan surat tersebut sah diterima bertarikh 13 Disember 2022.

"Inti pati surat tersebut berbunyi, saya Datuk Johari bin Abdul, dengan ini memaklumkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa saya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun yang saya mewakili, berkuat kuasa secara serta-merta," katanya dalam pesanan video berdurasi 2.06 minit melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama pada Ahad.

Johari turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Speaker DUN Kedah yang memberi ruang kepadanya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan DUN serta berterima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Gurun.

"...dan pengundi-pengundi saya di sana, tuan-tuan dan puan-puan telah pun berikan kerjasama yang luar biasa, kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai Adun Gurun, insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam memakmurkan dan membangunkan negeri Kedah," katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN berkenaan, Johari tidak menolak ia kemungkinan berkait dengan pencalonannya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

"Kita tunggu esok lah,” katanya merujuk kepada Isnin, 19 Disember 2023.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh majoriti 4,207 undi selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas.

Sementara itu, Juhari ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kerusi DUN Gurun dikosongkan sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Negeri nanti.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 dijadual berlangsung selama dua hari bermula Isnin antara lain akan menyaksikan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Pada 2 Disember, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram