Tergamak lacurkan anak, ibu bapa berdepan sebatan, penjara seumur hidup


Tertuduh, Mohd Rizal dan Intan Wahidah didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Mei hingga September lalu. — Astro Awani

SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang pada Jumaat atas tuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun untuk eksploitasi seks.

Tertuduh, Mohd Rizal Hamzah, 38, dan Intan Wahidah Mohd Nor, 47, didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Mei hingga September lalu di Felda Purun, Bera.

Mohd Rizal berdepan lapan pertuduhan, manakala Intan Wahidah pula berdepan tujuh pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2017, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.

Mohd Rizal kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM35,000 manakala isterinya, Intan Wahidah dikenakan ikat jamin RM29,000.

Selain itu, pasangan berkenaan turut didakwa melakukan kesalahan pengantunan dan didakwa mengikut Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, empat lelaki didakwa merogol dan mencabul seorang kanak-kanak bawah umur.

Tertuduh, Mohd Abdul Hafis Endut, 37; Ahmad Ridzuan Ismail, 41; Mohd Ismail Burhan, 42, dan Kamaruzaman Basir, 57, didakwa melakukan kesalahan itu di Felda Purun, Bera, antara April hingga September tahun lalu.

Abdul Hafis berdepan tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Ahmad Ridzuan pula berdepan dua pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Ismail berdepan tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Seksyen 377C dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Manakala tertuduh keempat, Kamaruzaman berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa pada 18 September tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afidatul Azwa Kamarul Anuar dan Faizah Khalilah Zaberi.

Semua mereka tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas proses pertuduhan selesai dilakukan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mereka dibenarkan ikat jamin antara RM6,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram