Pengusaha restoran alami kerugian, henti jualan Menu Rahmah


  • Massa
  • Isnin, 13 Mac 2023

Fakhrul mendakwa terpaksa menghentikan Menu Rahmah kerana mengalami kerugian.

SEORANG pengusaha makanan terpaksa menghentikan penjualan Menu Rahmah di restorannya selepas tidak dapat lagi menanggung kerugian perniagaan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun TikTok Tong Kayu Cafe Original, pemilik restoran yang hanya dikenali sebagai Fakhrul itu berkata, menu yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan pada Februari lalu tidak mendapat sambutan yang baik daripada pelanggannya sekali gus menyebabkan dia terpaksa berhenti menjual menu tersebut di restorannya.

“Saya tidak boleh menjual Menu Rahmah lagi, ada dua sebab dihentikan, pertama kerana faktor ekonomi serta saya tidak mempunyai modal yang besar dan perniagaan saya biasa-biasa sahaja.

“Kedua, sambutan Menu Rahmah di tempat saya begitu teruk sehingga menyebabkan kerugian,” katanya dalam video itu.

Menurut Fakhrul, untuk menu Rahmah, dia memperkenalkan dua hidangan iaitu nasi putih dan ayam masak kicap serta nasi putih ayam goreng kunyit.

"Kami hanya menyediakan kira-kira 15 pinggan untuk setiap hidangan tetapi tidak dapat menjualnya dan terpaksa membuangnya.

Katanya, selepas dua hingga tiga minggu menjual Menu Rahmah, dia tidak tahan lagi dan terpaksa berhenti menjual menu tersebut di restorannya.

Dalam video yang mendapat kira-kira 150,000 tontonan itu, Fakhrul berharap keputusannya itu tidak dikecam orang awam.

Dia juga berkata, pada awalnya tidak sabar-sabar untuk menyokong inisiatif kerajaan berkenaan untuk membantu orang ramai khususnya golongan B40 tetapi disebabkan kerugian yang ditanggung, dia terpaksa menghentikan penjualan Menu Rahmah tersebut.

Sebanyak 586 pengusaha makanan di seluruh negara mendaftar untuk menawarkan hidangan Menu Rahmah di restoran mereka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram