Pernah terpisah berpuluh tahun, Ka Siong titip doa hubungan ibu dan makcik berbeza agama kekal selamanya


Siw Lan (kanan) dan Junaidah bergambar bersama ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudara mereka di Tangkak, Johor. — Facebook/WeeKaSiong

BAGAI air dicincang, pasti tidak akan putus.

Itulah peribahasa digunakan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi menggambarkan hubungan antara ibu beliau, Chong Siw Lan bersama adik kandungnya, Junaidah Ibrahim yang sekian lama terpisah akibat kemiskinan.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, pertemuan yang berlaku selepas berpuluh tahun terpisah itu tetap berlangsung dengan penuh kemesraan meskipun kedua-duanya sudah berlainan agama.

"Atas faktor kemiskinan, kedua-dua mereka telah diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan di mana ibu saya menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga Cina yang menetap di estet manakala adik bongsunya diserahkan kepada keluarga Melayu.

"Akan tetapi, jarak dan perbezaan agama tidak memisahkan mereka dengan semua adik-beradik kandung lain. Syukur, mereka ditemukan semula setelah terpisah buat beberapa dekad lamanya," katanya.

Ka Siong  2

Ka Siong (depan) bergambar bersama ahli keluarga dan sepupunya ketika hadir dalam majlis perkahwinan pada Ahad. — Facebook/WeeKaSiong

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau turut berkongsikan foto memaparkan gambar ibunya tersenyum mesra bersama Junaidah ketika menghadiri majlis perkahwinan keluarganya di Tangkak, Johor pada Ahad.

Ka Siong yang dilahirkan dalam keluarga berketurunan Hakka berkata, hari istimewa perkahwinan sepupunya itu turut dihadiri ahli keluarga terdekat kesemua 16 beradik ibunya.

"Mudah-mudahan hubungan akrab ini terus erat terjalin sampai bila-bila" ujar Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan pernah berkongsikan kisah mengenai Junaidah yang sudah memeluk Islam itu ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan sepupunya yang merupakan anak kepada ibu saudaranya itu pada Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram