JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan mengajar di negeri itu.
Ketika dihubungi Majoriti pada Ahad, jabatan itu memaklumkan Azhar tidak berada dalam senarai keseluruhan 1,313 individu mendapat tauliah yang dikeluarkan JHEAT setakat November lalu.
Berdasarkan perkongsian di Facebooknya, Azhar yang juga dikenali dengan nama UAI dijadualkan berceramah di 15 masjid dan surau sekitar Terengganu bermula dari 1 Mac lalu 21 Mac depan.
Harian Metro pada Ahad melaporkan bahawa Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, hanya 30 pendakwah selebriti mendapat tauliah dan diberi kebenaran khas oleh pihak berkuasa negeri itu untuk berceramah.
Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 1,313 individu yang mempunyai tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran.
Dalam pada itu, M Rozi meminta supaya individu ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid serta surau supaya membuat permohonan dengan pihaknya termasuk mengemukakan maklumat peribadi dan kelulusan akademik.
Pada 3 Mac lalu, media melaporkan mengenai larangan terhadap semua semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Dewan Negara untuk menggunakan masjid serta surau di seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu bertujuan memastikan agar rumah ibadah tidak disalah guna, selain mengelak pengisian bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Shaikh Harun juga memaklumkan bahawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa dukacita berhubung pembabitan segelintir ahli politik dalam isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram