POLIS mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung tiga video mirip bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa sedang bertengkar dengan seorang wanita disyaki isterinya, yang tular di media sosial sejak Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
"Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.
"Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya, sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat," katanya memetik laporan Astro Awani.
Difahamkan, kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.
Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
Beliau turut menegaskan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram