Polis pantau propaganda berkaitan Daesh di media sosial — Acryl Sani


  • 112
  • Ahad, 05 Mac 2023

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland. — Bernama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan pengganas Daesh seperti dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Beliau berkata, PDRM sejak awal mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

"Antara langkah PDRM ialah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat.

"Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Acryl Sani turut memberi jaminan bahawa situasi semasa tahap keselamatan negara adalah terkawal dan menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan laporan media berhubung perkara itu.

Katanya, PDRM komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PDRM, Daesh, Acryl Sani, Keselamatan