[VIDEO] Lelaki maut ditikam, terbaring di depan Medan Selera Pekan Lukut


  • 112
  • Khamis, 02 Mac 2023

Kenderaan polis didapati sudah berada di tempat kejadian dengan kawasan berkenaan dilihat sudah dikawal oleh pihak berkuasa meskipun masih terdapat beberapa orang awam berada berdekatan lokasi.

TULAR satu video pada malam Rabu memaparkan seorang individu dipercayai terbunuh dan terbaring di atas jalan berdekatan Medan Selera Lukut, Taman Aman Port Dickson, Negeri Sembilan selepas dipercayai ditikam.

Berdasarkan beberapa video pendek yang tersebar itu, lelaki tersebut dilihat sudah tidak bergerak dengan sebahagian anggota badannya ditutupi payung.

Kenderaan polis sudah berada di tempat kejadian dengan kawasan berkenaan dilihat sudah dikawal oleh pihak berkuasa meskipun masih terdapat beberapa orang awam berada berdekatan lokasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya telah pergi ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan orang awam pada pukul 7.35 malam Rabu.

"Setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa, 38 tahun, berlumuran darah terbaring di atas jalan di kawasan parkir dalam keadaaan tidak sedarkan diri sebelum pegawai kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada 7.55 malam.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat. Motif kejadian masih disiasat dan polis kini giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini sedang giat mengesan suspek terlibat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan di talian 06-6472222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram