Harga umrah kini bermula RM7,800, pakej premium RM14,000


  • Primer
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Papuh menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah. — Agensi

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula RM14,000.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahli Papuh mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan satu perjumpaan melibatkan ahli Papuh di Hotel Grand Barakah pada Jumaat.

"Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah. Antara dikenal pasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi daripada jemaah seluruh dunia.

"Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Lantaran itu, beliau berkata, Papuh berharap agar bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku ketika ini yang menyebabkan berlaku kenaikan harga pakej.

Tegas beliau, pihak Papuh juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram