'Bukan tanggal roadtax dekat kereta', rakyat mahu kadar insurans diturunkan


  • Massa
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Anthony memperkenalkan sistem baharu yang tidak mewajibkan pemandu meletakkan cukai jalan pada kenderaan.

BERMULA Jumaat, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’ dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal.

Sebaliknya, pemandu boleh menggunakan mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) menerusi langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal bagi rakyat Malaysia.

Walaupun ini merupakan salah satu inisiatif baharu kerajaan untuk memperbaharui sistem bawa lesen dan lekat cukai jalan di cermin kereta.

Namun rakyat dilihat lebih mahukan penurunan harga insurans berbanding tidak mewajibkan cukai jalan dilekatkan hadapan cermin kereta.

Menerusi tinjauan Majoriti di media sosial, rata-rata rakyat lebih berharap ada perubahan melibatkan kos sara hidup rakyat.

"Sepatutnya nak bantu rakyat kurangkanlah bayaran insurans kereta, kurangkan cukai kereta, baru betul nak tolong rakyat," kata Wan Fauzuri.

"Benda ini tak ada apa-apa beza pun, bayar tetap bayar," jelas Mohd Rusli.

"Cadangan yang baik ialah hapuskan roadtax bawah 2.0cc terus," luah Mohd Muhammad.

"Sepatutnya tiada lagi bayaran cukai jalan kenderaan persendirian sehingga 2.4 cc," ujar Apai Aswado.

Sementara itu, Anthony berkata, beliau menandatangani pewartaan mengenai perkara tersebut dan dijangka mengambil masa sehingga tiga minggu untuk digazetkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram