Doktor buka baju, raba budak 12 tahun di Hospital Kemaman kena cekup


  • 112
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Seorang doktor perubatan di Hospital Kemaman ditahan polis atas dakwaan mencabul kanak-kanak usia 12 tahun. — Gambar hiasan

SEORANG doktor perubatan di Hospital Kemaman, Terengganu ditahan polis Terengganu semalam selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di hospital tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari pada Khamis selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam Rabu.

"Mangsa memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang doktor yang merawatnya, telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar-gambar mangsa melalui telefon pintar milik suspek. Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rohaimi berkata, telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, pihak polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

"Siasatan lanjut akan dijalankan dan rakaman percakapan saksi lain akan diambil sebagai keterangan di dalam kes ini,” katanya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram