Pakar syor tidak sekat kemasukan pelancong China


  • Massa
  • Ahad, 15 Jan 2023

Para pelancong asing termasuk dari China di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.

KEWUJUDAN dua varian Covid-19 dari China membimbangkan penduduk dunia terutamanya kebanyakan negara yang dilihat menunjukkan pengurangan kes wabak itu.

Apatah lagi, BA.5.2 dan BF.7 sudah dikesan di Malaysia, masing-masing sejak 16 Mac dan 21 Ogos lepas.

Ini seterusnya menambahkan kebimbangan segelintir pihak di negara ini, yang mana ada yang berpendapat supaya Malaysia menghalang kemasukan rakyat China buat sementara waktu.

Namun, bagi Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, rakyat Malaysia diminta supaya tidak beremosi dan menerima kedatangan pelancong China secara terbuka.

Katanya, ia memberi nafas baharu kepada industri pelancongan di negara ini walaupun ramai masih takut.

71629741955_TBMalinaOsman

Dr Malina

Tampil memberi pendapat, Prof Dr Malina Osman berkata, Malaysia disarankan untuk tidak perlu menutup pintu sempadan kepada warga China, sebaliknya Kementerian Kesihatan (KKM) wajar melakukan pemantauan dan langkah kawalan.

Beliau menyarankan supaya kementerian itu mempunyai respons yang tepat terhadap kebimbangaan ke atas pelancong asing, terutamanya pelancong dari China.

"Risiko mendapat jangkitan secara umum kekal seperti sebelum ini, namun dalam masa yang sama kita perlu terjemahkan kebimbangan dengan mengambil vaksin, serta sentiasa berhati-hati bila berada dalam situasi yang berisiko tinggi," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, katanya, penduduk di negara ini perlu melihat dari segi konteks rasional iaitu dengan merujuk data, situasi semasa, dan kewujudan vaksin Covid-19 serta ubat paxloid.

file7odcakkkv0h12rkrr4dn

Pelancong memakai pelitup muka dan bersedia menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Barat di Beijing, China pada 6 Januari lalu. — Agensi

Tambahnya, situasi ketika ini tidak sama seperti permulaan wabak pada awal 2020 lalu, yang mana ketika itu tiada kewujudan vaksin atau ubat.

Katanya, data semasa juga menyaksikan tiada petanda berlaku lonjakan kes yang berkait dengan kadar kematian tinggi.

"Kelonggaran SOP (prosedur operasi standard) sejak April tahun lalu juga memberi indikasi tiada lonjakan kes, walaupun kita tidak lagi mempunyai SOP ketat.

"Namun, KKM kekal melaksanakan pemantauan semasa dengan mengambil sampel klinikal dan persekitaran bagi memastikan situasi dalam negara terus selamat," katanya.

Peluang perniagaan

template - 2023-01-15T164000.774

Barjoyai

Senada dengannya, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Malaysia tidak boleh menghalang kemasukan pelancong China ke negara ini.

Namun, pakar ekonomi itu berkata, Malaysia boleh melaksanakan peraturan dengan memastikan hanya pelancong yang sihat boleh memasuki negara ini secara terus.

"Kita tidak boleh mengira sama ada individu itu dari China, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan sebagainya. Asalkan mereka perlu menjalani ujian ketika tiba di lapangan terbang.

"Ini juga termasuk warganegara Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara dan ingin memasuki negara ini semula. Mereka perlu jalani ujian dan jika positif, mereka perlu diasingkan untuk menjalani kuarantin," katanya.

Tambah beliau, jika perkara itu dilaksanakan, peluang perniagaan baharu kepada pengamal kesihatan swasta di Malaysia boleh diwujudkan.

Katanya, pengamal kesihatan terbabit boleh mewujudkan kemudahan untuk individu yang dikuarantin dan diasingkan apabila dijangkiti Covid-19.

"Pusat pelancongan di bandar Sunway, Genting Highlands boleh dijadikan lokasi tempat tinggal untuk mereka menetap sehingga bebas daripada gejala itu," sarannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram