PENDAKWA raya dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwah bebas, Ebit Lew dijangka memanggil saksi baharu pada perbicaraan yang akan disambung pada Selasa ini (7 Februari).
Perbicaraan yang bersambung selama empat hari bermula 7 hingga 10 Februari ini akan menampilkan saksi keenam, namun butiran terperinci saksi belum diketahui setakat ini.
Mahkamah Majistret Tenom, Sabah pada 22 Disember lalu menetapkan tarikh perbicaraan baharu bagi kes itu, selepas perbicaraan yang diadakan sebelum ini ditangguhkan.
Pada perbicaraan terbabit, seramai tiga saksi telah dipanggil termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, dan juga dua pegawai polis bagi memberi keterangan berhubung kes itu.
Setakat ini, keseluruhan saksi yang telah dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan adalah seramai lima orang.
Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim diwakili barisan peguamnya iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut manakala, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia serta Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Ebit berdepan dengan 11 pertuduhan iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa, melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,