Kelonggaran etika berpakaian dibolehkan jika kecemasan — KPN


  • Primer
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menjelaskan isu mengenai etika pemakaian ketika di balai polis. — Bernama

ETIKA berpakaian orang awam di balai polis adalah berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Negara, kata Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

"Kita harus mempertahankannya memandangkan balai polis adalah bangunan dan pusat kerajaan. Bagaimanapun, ia boleh dilonggarkan berdasarkan situasi kecemasan yang dihadapi pengadu," kata Ketua Polis Negara.

Penjelasan itu dibuat susulan isu seorang wanita yang didakwa dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kerana berpakaian tidak sesuai.

"Saya dimaklumkan pengadu memakai seluar pendek dan dia dinasihatkan oleh anggota polis supaya memakai pakaian yang sesuai. Mungkin berlaku salah faham semasa kejadian. Kita hendaklah sentiasa memakai pakaian yang sesuai apabila ke bangunan kerajaan," katanya.

Acryl Sani berkata demikian ketika menghadiri program 'Hiking with the Police' di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semakan mendapati wanita tersebut memakai seluar pendek yang tidak menutupi lututnya dan hanya menukar pakaian sebaik dilarang masuk ke balai polis.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi Isnin ketika wanita itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan.

“Pihak pengawal memberitahu wanita itu dia tidak boleh meletakkan kenderaan SUV di pekarangan polis kerana tiada ruang parkir.

“Wanita itu yang berpakaian seluar pendek sehingga ke peha diberitahu oleh pengawal untuk menukar pakaian yang lebih sesuai sebelum memasuki ibu pejabat polis, iaitu selaras dengan etika pemakaian yang ditetapkan di premis kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengawal terbabit mendakwa, wanita itu tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan anggota polis malah menimbulkan provokasi.

“Mereka kemudiannya memberikan nasihat dengan sopan sebelum wanita itu kemudiannya datang semula ke balai kira-kira 15 hingga 20 minit kemudian bersama dua rakannya dengan memakai seluar panjang.

“Gambar wanita itu yang memakai seluar panjang diterbitkan bersama artikel dalam sebuah portal berita yang seolah-olah menunjukkan dia dihalang masuk walaupun mematuhi peraturan berpakaian.

"Tetapi yang sebenarnya, dia hanya berpakaian seluar panjang seperti dalam gambar artikel itu selepas dia diberitahu untuk berbuat demikian," katanya sambil menambah ibu pejabat polis berurusan dengan lebih 300 orang setiap hari dan tidak pernah berdepan isu sedemikian sebelum ini.

Tambah beliau, gambar etika berpakaian turut diletakkan di pondok pengawal untuk rujukan pengunjung. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram