SEORANG pembantu restoran dipenjara sebulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang lagi wanita pada Oktober lepas.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 ke atas Yap Jian Sheng, 24, kerana mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di sebuah kediaman dekat Kepong pada 2 pagi bersamaan 14 Oktober lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.
Lelaki itu juga didenda RM3,000 kerana mendatangkan kegusaran terhadap seorang wanita berusia 26 tahun dengan menunjukkan kemaluannya di lokasi sama pada 1.30 pagi, 19 Oktober lepas mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, 20 Disember lepas dan dipenjara tiga minggu sekiranya gagal membayar denda RM6,000 itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira trauma yang dialami kedua-dua mangsa.
Yap, yang masih bujang dan tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga yang menjaga ibu dan bapanya.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Yap mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 13 tahun pada pukul 8.30 malam pada 25 November lepas dan seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun pada pukul 6.30 petang,11 Oktober lepas di lokasi sama di Kepong.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 15 (a)(i) akta sama membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh akan mendatangkan risiko kepada masyarakat, namun Yap merayu diberikan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Tasnim Abu Bakar tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes telah ditetapkan pada 31 Januari 2023. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram