Mustafa Centre buka gedung pertama di Capital City Mall JB


  • Bizz
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Mustafa akan membeli 591 unit runcit yang tidak terjual di Capital City Mall daripada syarikat tersebut. — Agensi

MUSTAFA’S Pte Ltd (Mustafa) yang mengendalikan gedung terkemuka Mustafa Centre di Singapura akan membuka cawangan pertamanya di Johor Bahru, Johor tidak lama lagi.

Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Capital World Ltd bahawa ia akan menjual beberapa ruang termasuk unit runcit di Capital City Mall di Johor Bahru kepada Mustafa dengan harga RM368 juta, sebagai usaha pemaju hartanah itu untuk meningkatkan lembaran imbangannya dan mempercepat pemulihan syarikat.

"Susulan kejayaan pembukaan gedung runcit sehenti mega di Singapura bagi pelbagai jenis barangan termasuk barangan fesyen, kosmetik dan elektronik, kami percaya sudah tiba masanya untuk kami menembusi pasaran Malaysia.

"Apatah lagi dengan sekatan pandemik telah pun ditarik balik ketika ini,” kata Pengarah Urusan Mustafa, Mustaq Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Singapore Exchange, pada Jumaat.

Menurutnya, satu daripada cabaran utama syarikat itu sehingga kini adalah mencari tapak yang sesuai.

"Capital City Mall memenuhi banyak keperluan bagi gedung utama pertama kami, memandangkan jaraknya dengan Singapura serta ruang lantai yang luas,” katanya.

Mustafa akan membeli 591 unit runcit yang tidak terjual di Capital City Mall daripada syarikat tersebut yang merupakan gabungan kawasan boleh sewa bersih seluas 641,216 kaki persegi.

Ia juga akan membeli 374 bahagian aksesori yang termasuk kawasan terbuka dan kawasan pelbagai guna meliputi kawasan seluas 1.28 juta kaki persegi serta semua 2,181 kawasan lot parkir, katanya.

Tambahnya lagi, pembelian oleh Mustafa itu menandakan penerokaan pertamanya sebagai pengendali gedung beli belah utama di Malaysia dan ia merupakan pasaran yang telah lama menjadi sasarannya untuk ditembusi.

Gedung beli belah itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu pegangan kekal di Tampoi yang juga merangkumi 315 bilik hotel, menara 18 tingkat dengan 630 bilik berperkhidmatan dan 690 kondominium berperkhidmatan yang terdiri daripada tiga blok.

Mustafa merupakan satu daripada peruncit terkemuka di Singapura yang telah menjalankan perniagaan lebih daripada lima dekad.

Gedung utama, Mustafa Centre, di Syed Alwi Road menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk elektronik pengguna, barang kemas, mainan, fesyen, kosmetik dan barangan pengguna laris. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram