Ahli politik Denmark bakar Al-Quran, 30 NGO serah nota bantahan ke Kedutaan Sweden


  • Massa
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Paludan dikecam gara-gara membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden. — Agensi

LEBIH 30 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Kedutaan Sweden, Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menyerahkan nota bantahan terhadap tindakan kerajaan Sweden membenarkan ahli politik pelampau Rasmus Paludan membakar kitab suci Islam, al-Quran di Stockholm, Sabtu lepas.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, nota bantahan itu diserahkan kepada wakil Duta Sweden di Malaysia Dr Joachim Bergstrom.

"Kami minta supaya mereka akur bahawa apa yang dilakukan pihak sana (kerajaan Sweden) adalah berbahaya walaupun atas nama kebebasan," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan nota bantahan di Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark itu yang membakar naskhah al-Quran di Sweden dan menjelaskan terdapat begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.

Pada Ahad, Anwar dilaporkan bukan sahaja mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu malah, menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara tersebut.

Paludan, dari parti politik Denmark, Hard Line atau Stram Kurs diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram